Projek Titian Ehsan (PTE) merupakan suatu projek jangka panjang YSB yang disasarkan kepada golongan remaja dan belia khususnya yang berumur antara 13- 27 tahun. Projek ini diwujudkan bermatlamat bagi memberi manfaat kepada para remaja dan belia melalui pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan remaja masa kini. Projek ini membelanjakan sebanyak hampir RM 350,000.00 pada setiap tahun.
YSB ROWERS TEAM
Program Pembangunan Sukan Air (Perahu Panjang) merupakan salah satu daripada beberapa aktiviti sukan kepada anak muda yang dilaksanakan oleh YSB sejak tahun 2006. Pada 2016, program ini telah ditransformasikan kepada aktiviti Perahu Naga (Dragon Boat) yang telah menyerlahkan bakat anak muda Kedah secara meluas ke peringkat antarabangsa. lanya terbukti apabila beberapa ahli 'YSB Rowers Team' telah mencapai banyak kejayaan dalam mewakili Malaysia untuk bertanding di dalam dan luar negara seperti di China, Indonesia, Filipina & beberapa negara Asean lain sejak 2018 hingga kini. Kos yang dianggarkan setiap tahun adalah RM15,000 hingga RM30,000.
SKATEPARK YSB – RAKAN MUDA
Projek ini dimulakan pembinaannya di sebahagian kawasan Taman Jubli Emas, Suka Menanti Alor Star pada pertengahan Julai 2008 dan siap sepenuhnya pada penghujung Oktober 2008.
Bantuan daripada Kementerian Belia & Sukan Malaysia diterima sebanyak RM 390,000.00 dan YSB mendana sebanyak RM 100,000.00 manakala kawasan tanah pula disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Taman Jubli Emas merupakan salah satu lagi mercu tanda baru bagi Negeri Kedah sempena sambutan 50 tahun pemerintahan Tuanku Sultan Abdul Halim.
Skatepark ini menjadi pusat aktiviti sukan lasak setempat, terancang dan berkemampuan menganjurkan pertandingan ke tahap antarabangsa. Ia juga diyakini akan menjadi salah satu daya tarikan “sport tourism” di utara tanahair khasnya di Negeri Kedah Darul Aman.